PUNCA SEBENAR PRESIDEN ECUARDOR JUAL SYARIKAT UDARA NEGARA

QUITO – Presiden Ecuador, Rafael Vicente Correa menyuarakan keinginannya untuk menjual Tame, syarikat penerbangan milik negara Amerika Latin itu demi menampung kos pemulihan pasca gempa bumi baru-baru ini.

Hasrat tersebut diluahkan Correa, 53; yang pernah menjadi menteri kewangan sebelum dilantik sebagai presiden sejak 2007; ketika memberi ucapan pembukaan tahunan di hadapan Parlimen Ecuador pada 24 Mei lalu.

Menurut beliau yang dipetik agensi berita antarabangsa Associated Press, ada dua kemungkinan yang mampu dilakukan pihak pemerintah Ecuador susulan bencana alam terburuk di negara tersebut pada 16 April lalu.

Pertama ujar Correa, adalah menjual sepenuhnya Tame Airline yang ditubuhkan sejak 1962, atau kedua membuka kebarangkalian untuk penanam modal membeli sebahagian besar saham dari syarikat udara kebangsaan itu.

Tame yang memiliki 21 buah pesawat pelbagai model dan terbang ke 25 destinasi di rantau Caribbean; dahulunya pernah di bawah pentadbiran tentera udara Ecuador sebelum diambil alih oleh pihak kerajaan pada 2011 lalu.
Penjualan ini bagaimanapun jika sampai kepada peringkat terdesak mungkin diperluaskan lagi dengan meliputi pelbagai syarikat berkaitan kerajaan yang lain termasuk firma perbankan, kejuruteraan dan penjanaan tenaga.

Ecuador yang merdeka daripada Colombia pada 1830 dianggap ekonomi lemah sehingga memaksa ia memakai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 2000 sekali gus memansuhkan mata wang tempatannya, sucre.

Correa mengaku beliau ingin menghabiskan satu tahun terakhir tempoh pemerintahannya dengan membangunkan kembali Ecuador yang hancur akibat gempa dengan kekuatan 7.8 pada skala Richter pertengahan bulan lalu.

Bencana dahsyat itu meragut seramai 661 nyawa dan sembilan masih lagi hilang manakala 22,732 orang cedera selain mengakibatkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal ekoran 1,034 gegaran susulan sehingga 28 April.

Correa menganggarkan, proses pemulihan Ecuador memerlukan dana lebih AS$3 bilion (kira-kira RM12.3 bilion) dan merayu ihsan masyarakat antarabangsa untuk membantu negara berkenaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


EmoticonEmoticon